Mencari CINTA hakiki PEMILIK yang dilangit dan dibumi

Sunday, March 29, 2009




25 Mar 2009
Ucapan YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan Sempena Pelancaran Wi-Fi Aptus Net Dan Blog Tok Guru
Kategori: Ucapan

UCAPAN YAB TUAN GURU DATO’ MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA PELANCARAN WIFI APTUS NET DAN BLOG TOK GURU PADA 29 RABIUL AWAL 1430/26 MAC 2009 BERMULA JAM 3.00 PETANG BERTEMPAT DI KB MALL, KOTA BHARU, KELANTAN.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan HIKMAH dan PELAJARAN YANG BAIK dan BANTAHLAH mereka dengan CARA YANG BAIK. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk,"

(Surah An-Nahl Ayat 125) (Seterusnya...)

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Ayat yang baru sama-sama ini petik di awal ucapan tadi sengaja saya ambil untuk membuktikan betapa Islam sangat cermat dalam sebarang usaha dakwah. Jelas pada Ayat tersebut Allah S.W.T telah menekankan perihal mustahaknya perkara hikmah itu didahului oleh para da’i. Dakwah wajib membawa roh bimbingan dengan memberikan pelajaran dan pengajaran yang baik. Jika perlu berbantah-bantah sekalipun kerana ada perselisihan pendapat maka ia hendaklah dipilih dalam kaedah yang terbaik. Ayat ini seterusnya mengingatkan kita tentang tidak siapa yang tahu siapa yang tersesat atau yang mendapat petunjuk selain daripada Allah S.W.T. Demikian, betapa cermatnya Islam dalam memerlihara adab dan akhlak sewaktu berkomunikasi ketika berdakwah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Dalam sejarah hidup manusia, sejak kecil lagi akan terdapat soal menyoal dan perbezaan dalam pendapat. Ini fitrah manusia. Bila manusia disoal, otak manusia akan ligat mencari jawapan. Secara tiba-tiba, ia menjadi aktif. Jawapan akan menjadi sangat konkrit apabila jawapan itu bersandarkan kepada hujah-hujah daripada wahyu yang datang dari langit. Usaha untuk mencari jawapan yang benar ini juga disebut fitrah. Musuh yang jujur lazimnya akan terkedu dan terduduk apabila berdepan dengan kebenaran. Itupun jika mereka tidak sombong, degil atau bongkak.

Di dalam surah pertama yang diturunkan dari langit terdapat 3 potong Ayat:

1) “Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang seorang hamba ketika dia mengerjakan solat.”

2) “Bagaimana pendapatmu jika orang yang dilarang (iaitu Rasulullah S.A.W. itu berada diatas kebenaran atau dia menyuruh bertaqwa (kepada Allah)?

3) “Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling? Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya.”

(Surah Al-Alaq : Ayat 9 – 14).



Kesemua persoalan ini memulakan pertanyaan “bagaimana pendapatmu” sebenarnya ditujukan kepada golongan yang membangkang Rasulullah S.A.W. Semua ini membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya bermusyawarah, berwacana, berbincang dan berforum. Semuanya ini adalah untuk mengembangkan fitrah manusia untuk bersoal jawab. Proses inilah yang melahirkan daya intelektualisme dan dinamisme dalam kehidupan intelektual rakyat seluruhnya. Saya tidak nampak niat baik apabila akhbar-akhbar alternatif digantung dan setengah-setengah blog diharamkan daripada membuat liputan ke atas beberapa perhimpunan penting bertaraf nasional. Sekat untuk adakan perhimpunan secara aman. Sekat permit-permit majalah dan menghalang daripada sesetengah tokoh daripada berbicara di Universiti. Ini yang saya namakan usaha untuk menyekat aliran perkembangan intelektualisme rakyat yang bercanggah sama sekali dengan impian untuk menjadikan negara ini hub warga dunia kelas pertama.

Kita perlu ingat, apabila manusia disekat, manusia akan menjadi bodoh. Bagi kerajaan yang taghut, mereka akan seronok. Inilah puncanya yang menimbulkan pilihan di blog-blog. Sebelum perasmian blog ini pun telah timbul berpuluh-puluh blog. Manusia tidak boleh dikongkong daya pemikiran mereka kerana ini soal fitrah. Ia tuntutan semula jadi naluri setiap manusia, Sebagaimana air yang turun daripada gunung, jika ia disekat, dalam jumlah yang sedikit ia akan menjadi kolam. Air yang statik akan menjadi sarang tempat kediaman nyamuk dan serangga yang berbahaya. Bila air sudah banyak dan disekat juga, ia sama ada boleh melimpah dan merosakkan kehidupan atau menyerap masuk ke lapisan bawah tanah untuk melahirkan mala petaka atau air yang banyak akan membentuk suatu daya tolakan yang akan memecahkan tembok sekatan ingin membebaskan diri untuk kembali kepada fitrah asal kejadiannya yakni keperluan untuk bersoal jawab dalam mencari kebenaran yang hakiki.

Dunia pada hari ini adalah dunia yang dididik dalam acuan kebebasan minda yang meraikan proses soal jawab. Segala usaha yang menyekat proses tabie ini akan membawa kebinasaan kepada pihak berkuasa yang menganjurkan sekatan ini.

Sebenarnya, fikiran dan proses berfikir dicetus dan digerakkan dalam dua keadaan, iaitu evolusi dan revolusi. Kesan kehadiran jalan berfikir ini hanya boleh diuji dan dilihat jika diberi ruang untuk menguasai negara. Seburuk-buruk Sistem Komunis itu pun telah diberi peluang untuk menunjukkan teorinya dalam bentuk pelaksanaan di Negara Republik Rakyat China, Soviet Russia, Jerman Timur dan beberapa negara komunis yang lain. Sama juga halnya dengan pemikiran demokrasi. Masing-masing telah diberi kesempatan iaitu jelmakan dalam bentuk pelaksanaan.

Lebih-lebih lagilah Islam. Sewaktu Nabi S.A.W. berada di Mekah, kebaikan Islam tidak dapat dilihat oleh kerana Islam tidak diberi kesempatan untuk memerintah dan bebas bersoal jawab. Apabila di Madinah, berduyun-duyun golongan pembangkang telah menerima Islam berkat proses pertukaran pendapat, polimik dan wacana. Terasa terpinggir dari aliran kesedaran ini maka lahirlah golongan munafik yang tidak ada di Mekah sebelum ini

No comments:

Post a Comment